Wall Street meneruskan momentum kenaikan pada paras positif apabila saham teknologi utama kembali meningkat.
Ketiga-tiga indeks utama saham Amerika Syarikat (AS) mencatat kenaikan hari keempat berturut-turut apabila pelabur mengabaikan kebimbangan mengenai penilaian tinggi sektor teknologi yang menekan prestasi mereka minggu lalu.
Kebimbangan pelabur reda selepas Nvidia melaporkan keputusan suku tahunan yang memberangsangkan, disusuli ramalan hasil suku keempat daripada pembuat pelayan AI, Dell Technologies yang mengatasi jangkaan.
Saham Dell Technologies meningkat 5.8% selepas mencatat pendapatan yang mengatasi jangkaan serta mengemukakan unjuran yang optimistik.
Indeks S&P 500 meningkat 0.69% kepada 6,812.61 mata, Dow Jones naik 0.67% kepada 47,427.12 mata, manakala Nasdaq yang berfokus kepada sektor teknologi menokok 0.82% kepada 23,214.69 mata.
Dalam perkembangan lain, peningkatan jangkaan penurunan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) pada bulan Disember kembali menyemarakkan sentimen pembelian saham dalam kalangan pelabur sebelum cuti Hari kesyukuran.
Menurut CME FedWatch, pasaran kewangan kini menetapkan kebarangkalian 84.9% bahawa bank pusat akan melaksanakan pengurangan sebanyak 25 mata asas ke atas kadar sasaran utama dana Fed pada akhir mesyuarat dasar Disember.
Sementara itu, data ekonomi utama menunjukkan pesanan barangan modal teras bagi bulan September melebihi jangkaan.
Walaupun laporan Jabatan Perdagangan tertangguh akibat penutupan kerajaan, mereka mengisyaratkan perbelanjaan korporat yang lebih kukuh daripada jangkaan ahli ekonomi.
Jumlah dagangan di bursa AS bernilai $14.78 bilion, berbanding purata $19.49 bilion dalam tempoh 20 hari dagangan.
























































