Saham Amerika Syarikat (AS) ditutup bercampur-campur ketika pelabur menantikan laporan pendapatan peruncit utama dan simposium tahunan Federal Reserve (Fed) di Jackson Hole.
Peruncit utama seperti Walmart Inc, Home Depot Inc dan Target Corporation bersedia melaporkan keputusan pendapatan pada minggu ini, sekaligus memberi petunjuk mengenai kesan ketidaktentuan perdagangan dan jangkaan inflasi terhadap pengguna AS.
Pada Jumaat lalu, jualan runcit meningkat seperti dijangka, namun sentimen pengguna terjejas akibat kebimbangan inflasi. Indeks Pasaran Perumahan jatuh ke paras terendah sejak Disember 2022 pada kelmarin.
Pelabur kini menantikan ucapan Pengerusi Fed, Jerome Powell di simposium Jackson Hole pada 21 hingga 23 Ogos bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai prospek ekonomi dan hala tuju dasar bank pusat.
Purata indeks Dow Jones jatuh 0.08% kepada 34.30 mata, S&P 500 merosot 0.01% kepada 0.65 mata, manakala Nasdaq berfokus kepada industri teknologi pula melonjak 0.03% kepada 6.80 mata.
Dalam tumpuan lain, Presiden Donald Trump dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky bertemu semalam bagi membahas masa depan isu perang di Ukraine selepas sidang kemuncak Trump dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang berakhir tanpa hasil konkrit.
Trump turut menyatakan hasrat untuk menghubungi Putin dengan kemungkinan ketiga-tiga pemimpin itu bakal mengadakan mesyuarat bersama.
Sementara itu, saham Intel menjunam 3.66% selepas laporan Bloomberg menyebut pentadbiran Trump mempertimbangkan untuk mengambil 10% kepentingan dalam syarikat pembuat cip tersebut.
Saham Dayforce pula melonjak 26% selepas firma ekuiti swasta Thoma Bravo dilaporkan sedang berunding untuk mengambil alih syarikat perisian pengurusan sumber manusia itu.