Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menegaskan bahawa pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ‘tidak layak’ untuk dihubungi atau bekerjasama dengan Iran.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau tampil dalam satu sesi televisyen Iran semalam bagi meraikan pasukan Basij, iaitu unit separa tentera di bawah Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Beliau turut menafikan spekulasi bahawa Iran telah menghantar mesej kepada Washington, serta menyifatkannya sebagai ‘pembohongan semata-mata.’
Khamenei juga menjelaskan bahawa AS dan Iran gagal mencapai sebarang matlamat sepanjang perang selama 12 hari antara Israel dan Iran pada bulan lalu.
Pada bulan tersebut, Israel melancarkan kempen pengeboman besar ke atas Iran, sekali gus mencetuskan konflik singkat yang turut melibatkan AS melalui serangan terhadap beberapa fasiliti nuklear utama Iran.
Tindakan kejam Israel itu menyebabkan Iran melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron sebagai respons terhadap serangan berterusan ke atas negara tersebut.
Situasi tersebut turut menggagalkan rundingan nuklear antara Tehran dan Washington yang telah bermula pada April lalu.
Bagaimanapun, satu perjanjian gencatan senjata antara Iran dan Israel telah dikuatkuasakan pada 24 Jun bagi menamatkan konflik yang berlarutan antara kedua-dua negara.
Selepas peperangan Iran-Israel berakhir, Trump berulang kali mendakwa serangan AS memusnahkan program nuklear Iran, namun tahap kerosakan sebenar masih belum dipastikan.
Khamenei sebelum ini menolak dakwaan Trump bahawa program nuklear Iran telah dimusnahkan, sambil menyindir Trump untuk ‘terus bermimpi.’
























































