Mata wang US dolar didagangkan perlahan pada pembukaan awal minggu ini, namun momentum penyusutan nilai dari minggu lalu mula pudar.
Pelabur meneliti perkembangan di Amerika Syarikat (AS) ketika terdapat petanda bahawa situasi penutupan kerajaan sudah hampir berakhir.
Persetujuan yang dicapai di Senat merangkumi pembiayaan kerajaan sehingga Januari sebelum pakej lebih besar dilaksanakan untuk pembukaan sepenuhnya kerajaan yang melibatkan agensi-agensi penting.
Situasi yang bakal menamatkan tempoh penutupan yang terpanjang dalam sejarah negara itu mula memberi keyakinan semula kepada para pelabur.
Speaker Dewan Perwakilan AS, Mike John memaklumkan jika Senat bertindak pantas, rang undang-undang yang diluluskan bakal segera diserahkan kepada Presiden Donald Trump untuk ditandatangani.
US dolar bakal mendapat kelebihan dari situasi ini sementara mata wang safe-haven yang lain akan hilang tarikan semula.
Mata wang Yen jika alami kejatuhan nilai berterusan, bakal catatkan paras terendah baharu 9 bulan berbanding US dolar.
Menteri Ekonomi Jepun menyatakan bahawa kejatuhan nilai Yen akan mendorong kenaikan harga dan turut mempengaruhi peningkatan kos import barangan di Jepun.
Tumpuan pasaran pada hari ini (Selasa) adalah pada pergerakan mata wang Pound yang menantikan terbitan laporan pekerjaan UK di sesi Eropah.
Angka tuntutan faedah bagi mereka yang tidak bekerja dan kadar pengangguran akan memberi gambaran kesihatan pasaran buruh di UK untuk tempoh beberapa bulan terbaru ini.
Sementara dagangan di sesi New York pula dijangka perlahan berikutan sambutan Hari Veteran di Amerika hari ini.




















































