Nilai perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) meningkat sebanyak 15.4% kepada RM270.88 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, berbanding RM234.68 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, memaklumkan bahawa peningkatan besar ini menunjukkan betapa pentingnya hubungan dagang antara kedua-dua negara.
Beliau turut menegaskan sebarang perubahan terhadap dasar perdagangan Amerika terutamanya tarif, akan memberi impak langsung kepada ekonomi Malaysia jika tidak diurus dengan berhati-hati.
Zafrul berpandangan jika Malaysia memilih untuk tidak berunding atau mengenakan duti balas ke atas AS, ia boleh menjejaskan pasaran eksport bernilai kira-kira RM198.65 bilion yang melibatkan pelbagai sektor termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Kerajaan kini mengamalkan pendekatan menyeluruh melalui kementerian berkaitan bagi melindungi kepentingan negara dalam rundingan cukai timbal balik dengan AS, sambil mengekalkan kerjasama strategik dalam perdagangan dan pelaburan.
Kerajaan juga berhasrat memperkukuh daya saing eksport melalui Pelan Perdagangan Nasional (NTBp) dan Pelan Induk Industri Baharu (NIMP) 2030.
Selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia ke-13, sasaran kerajaan untuk nilai eksport melebihi RM2 trilion menjelang 2030, dengan pertumbuhan purata tahunan sekitar 5.8%.






















































