Ketika para pemimpin dunia dan pakar ekonomi Eropah masih mencerna berita mengenai perjanjian dagangan antara Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat, sesetengah pakar mengeluarkan pandangan bahawa perjanjian tersebut, meskipun kurang menguntungkan EU, mungkin memberi lonjakan mengejut kepada United Kingdom.
EU kini berdepan tarif sebanyak 15% ke atas barangan eksportnya ke A.S., berbanding hanya 10% bagi barangan dari U.K. Menurut Philip Shaw, Ketua Pakar Ekonomi di Investec, ini secara teorinya memberi kelebihan kepada U.K. “Eksport U.K. ke A.S. kini menjadi lebih murah secara relatif, dan ini boleh meningkatkan dagangan British dengan Amerika apabila firma A.S. lebih cenderung membeli barangan dari U.K. berbanding EU,” jelas beliau.
Alex Altmann dari Lubbock Fine LLP menambah, perbezaan tarif ini bukan sahaja menjadikan barangan British lebih murah untuk pengguna Amerika, malah menjadi insentif besar kepada syarikat EU untuk memindahkan operasi pengilangan mereka ke U.K. Beliau menekankan bahawa kapasiti pengeluaran yang masih ada di U.K. pasca-Brexit menjadikannya lokasi strategik untuk pelaburan baharu. “U.K. boleh menjadi pemenang tidak langsung terbesar daripada perjanjian ini,” katanya.
Namun, bukan semua manfaat berikutan daripada kadar tarif yang lebih rendah. Shaw menyatakan bahawa EU yang berjaya mengelakkan tarif 30% seperti yang pernah diancam Presiden A.S Donald Trump yang turut memberi kesan positif kepada U.K. kerana rakan dagang utamanya itu terselamat daripada potensi kemelesetan yang boleh menjejaskan eksport U.K. ke EU. Walau bagaimanapun, Beth McCall dari firma guaman Dentons memberi amaran bahawa kesan kelebihan 5% ini mungkin mengambil masa untuk benar-benar dirasai, kerana kontrak sedia ada perlu tamat dahulu sebelum pengimport A.S. beralih arah ke U.K.