Dunia teknologi dikejutkan apabila syarikat kecerdasan buatan (AI) Perplexity AI mengemukakan satu tawaran yang tiba-tiba dan tidak masuk akal bernilai $34.5 bilion untuk membeli pelayar web terkenal Google, Chrome.
Jumlah itu jauh melebihi penilaian semasa Perplexity yang hanya sekitar AS$18 bilion, namun syarikat berkenaan mendakwa telah mendapat sokongan pembiayaan daripada beberapa pelabur utama.
Langkah berani ini dibuat susulan cadangan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) agar Google melepaskan Chrome, selepas mahkamah memutuskan syarikat gergasi itu memonopoli pasaran carian internet secara haram.
Google bagaimanapun sebelum ini menyifatkan cadangan DOJ sebagai “radikal” dan “terlalu melampau”, namun masih belum mengumumkan langkah seterusnya bagi mematuhi keputusan mahkamah.
Chrome, yang dilancarkan pada 2008, menjadi pintu masuk utama internet bagi ramai pengguna, sekali gus menjadi sumber data penting untuk pengiklanan Google.
Penganalisis berpendapat, jika tawaran Perplexity berjaya, ia akan merombak struktur persaingan global dalam industri enjin carian dan pelayar web, memberi peluang lebih besar kepada pesaing untuk menembusi pasaran yang sebelum ini dikuasai Google.
Perplexity, yang sebelum ini pernah mengemukakan cadangan penggabungan dengan TikTok pada Januari lalu, jelas menunjukkan keberaniannya mencabar pemain teknologi terbesar dunia.