Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa sebanyak RM1.07 juta telah dibelanjakan bagi pelaksanaan projek Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) sejak dimulakan pada Januari 2023 hingga 30 Jun 2025.
Beliau menjelaskan bahawa jumlah tersebut merangkumi kos pembelian ubat PrEP yang dibiayai melalui sumbangan Majlis AIDS Malaysia (MAM) menggunakan dana Global Fund kepada Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dr Dzulkefly turut menyatakan KKM menganggarkan sebanyak RM5.41 juta diperlukan bagi meneruskan pelaksanaan program berkenaan pada 2026.
Peruntukan tersebut merangkumi bekalan ubat dan ujian makmal untuk anggaran seramai 21,136 pengguna PrEP.
Pembiayaan ini dilaksanakan selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian UP.7.2.5, yang menetapkan garis panduan pemberian dan penerimaan hadiah dalam perkhidmatan awam.
Selain itu, meskipun program PrEP dilaksanakan di semua fasiliti kesihatan kerajaan mulai 2025, Global Fund akan terus membiayai pembelian ubat PrEP di 35 klinik kerajaan sehingga Disember 2025.
Berdasarkan data KKM, seramai 9,309 individu telah mengambil PrEP sehingga Jun 2025, dengan majoriti pengguna berasal dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 2,679 orang (28%), diikuti oleh Selangor (23%) dan Johor (12%).