Sebuah pesawat kargo tentera C-130 Turkiye yang membawa sekurang-kurangnya 20 anggota dilaporkan terhempas di Georgia selepas berlepas dari Azerbaijan, semalam.
Bagaimanapun, jumlah korban dan punca kejadian sebenar masih belum dapat dipastikan.
Video awal dari lokasi kejadian berhampiran sempadan Azerbaijan menunjukkan serpihan logam bertaburan di lereng rumput, dengan sebahagian fuselaj masih terbakar dan asap hitam menjulang ke langit yang cerah.
Rakaman yang tular di media sosial memaparkan pesawat itu berpusing ke arah bumi sebelum terbakar.
Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan menghentikan ucapannya di Ankara untuk menyampaikan ucapan takziah kepada anggota yang terlibat dalam kejadian tragis terbabit.
Kementerian Pertahanan Turkiye turut memaklumkan bahawa terdapat 20 anggota Turkiye berada di dalam pesawat tersebut termasuk kru penerbangan, namun tidak memberikan butiran tambahan mengenai kemungkinan penumpang warganegara lain.
Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya menyatakan bahawa rakan sejawatnya dari Georgia, Gela Geladze melaporkan pihak berkuasa telah menjumpai bangkai pesawat C-130 Turkiye sekitar jam 5 petang waktu tempatan (1400 GMT) semalam dan operasi mencari serta menyelamat masih diteruskan.
Menurut pihak Azerbaijan, pesawat berkenaan telah berlepas dari bandar Ganja menuju ke Turkiye sebelum terhempas.
Agensi berita Interpress Georgia melaporkan bahawa Kementerian Dalam Negeri Georgia akan menyiasat kejadian itu mengikut peruntukan undang-undang jenayah berkaitan pengangkutan udara.

























































