Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan menyeleweng 85,580 kilogram minyak sawit mentah bernilai RM1.1 juta dalam operasi Op Taring Palma di daerah Kerian.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, SAC Shahrum Hashim memaklumkan bahawa empat lelaki tempatan berusia 26 hingga 44 tahun ditahan dalam operasi yang dijalankan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Utara, Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kerian dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman pada Selasa lalu.
Menurut Shahrum, pasukan operasi mengesan sebuah lori bermuatan mencurigakan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Merah arah utara, sebelum mendapati minyak sawit mentah dipindahkan secara haram dari dua lori tangki ke sebuah lori bonded.
Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 15 tong biru berkapasiti 200 liter setiap satu di dalam lori bonded, bersama beberapa peralatan yang digunakan untuk memindahkan minyak sawit mentah tersebut.
Selain itu, JSPT Bukit Aman turut mengeluarkan satu saman terhadap suspek atas kesalahan trafik mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semua suspek dan rampasan diserahkan kepada MPOB Wilayah Utara untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.