Pihak Berkuasa Palestin telah menerima $90 juta daripada Arab Saudi sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan tersebut dalam menyokong pentadbiran Palestin.
Penyerahan dana itu dibuat oleh Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa yang juga pemangku Menteri Kewangan, Estephan Salameh di ibu pejabat Kedutaan Arab Saudi di Amman.
Dana berkenaan diserahkan semasa pertemuan dengan Duta Arab Saudi ke Jordan merangkap utusan tidak tetap ke Palestin, Putera Mansour bin Khalid bin Farhan Al-Saud.
Menurut agensi berita Wafa, Salameh menyampaikan penghargaan kepada Arab Saudi atas sokongan kewangan dan politik yang berterusan terhadap hak rakyat Palestin serta usaha menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Putera Mansour pula menegaskan komitmen Arab Saudi sebagai pengerusi bersama Perancis dalam persidangan antarabangsa di New York bagi menyokong Palestin dan menyelesaikan konflik berterusan antara Israel-Palestin.
Beliau turut menjelaskan bahawa dana yang disalurkan itu merupakan sebahagian daripada komitmen Arab Saudi untuk membantu kerajaan Palestin memenuhi tanggungjawab kewangan mereka.
Selain itu, Putera Mansour menekankan sokongan berterusan Arab Saudi dalam memperkukuh ketahanan rakyat Palestin serta memajukan sektor penting, termasuk kesihatan dan pendidikan.
























































