Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput Perdana Menteri baharu Thailand, Anutin Charnvirakul untuk mengadakan lawatan ke Malaysia selepas beliau memulakan tugas secara rasmi.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan bahawa beliau telah menyampaikan jemputan itu kepada Anutin menerusi perbualan telefon semalam.
Anwar juga berkata lawatan tersebut bertujuan memperkukuh lagi hubungan baik antara kedua-dua negara jiran.
Pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu diadakan bagi membincangkan perkembangan semasa di sempadan Thailand-Kemboja demi mengekalkan keamanan serta mengelakkan sebarang ketegangan.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan yang timbul perlu diselesaikan di meja rundingan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC).
Malaysia percaya semangat dialog, diplomasi dan persefahaman merupakan kaedah terbaik untuk menjamin keamanan serta kestabilan serantau.
Anutin, 58, yang mengetuai parti Bhumjaithai, secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Thailand ke-32 pada 7 September lalu selepas menerima perkenan diraja, sekaligus membuka lembaran baharu dalam kepimpinan politik negara tersebut.