Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk keras tindakan Israel yang menghalang Global Sumud Flotilla (GSF) daripada meneruskan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Anwar menegaskan bahawa kapal-kapal tersebut membawa orang awam tidak bersenjata serta bekalan kemanusiaan penting untuk Gaza, namun tetap berdepan dengan intimidasi dan paksaan daripada tentera Israel.
Beliau turut menyatakan tindakan Israel menghalang misi kemanusiaan itu mencerminkan keangkuhan rejim Zionis dan pengabaian terhadap hak rakyat Palestin serta nurani kemanusiaan sejagat.
Perdana Menteri menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten berdiri teguh bersama Palestin dalam menuntut keadilan dan hak asasi rakyat mereka.
Malaysia juga akan menggunakan segala saluran dan berperlembagaan yang sah untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan, terutamanya dalam kes melibatkan rakyat Malaysia.
Setakat ini, 12 rakyat Malaysia termasuk artis Zizi Kirana dilaporkan telah ditahan secara tidak sah selepas kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa.
Antara yang ditahan ialah Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin, Rusydi Ramli, Iylia Balqis, Ahmad Musa Nuwayri, Sul Aidil, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi serta terbaru Farah Lee dan Danish Nazram.
Rakaman video Kementerian Luar Israel yang disahkan Reuters turut menunjukkan aktivis iklim Sweden Greta Thunberg, berada dalam kalangan yang ditahan.
Beberapa kapal GSF dengan lebih 500 penumpang daripada 40 bot awam telah dibawa ke pelabuhan Israel, sekaligus menghentikan misi menghantar ubat-ubatan dan makanan ke Gaza.