Sidang kemuncak antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Alaska berakhir dengan kejayaan besar buat Moscow, manakala Washington dilihat pulang tanpa sebarang hasil nyata.
Walaupun Trump mendakwa pertemuan itu “10 daripada 10”, namun keputusan yang memihak kepada Rusia itu menjelaskan hakikat sebenar bahawa Trump telah tunduk kepada syarat Rusia untuk menangguhkan tuntutan gencatan senjata segera, sebaliknya memberi ruang kepada rundingan damai jangka panjang.
Langkah itu sekali gus memberi lebih masa kepada Rusia meneruskan serangan ofensif di Ukraine.
Lebih mencuri perhatian, Trump turut menyerahkan “surat damai” daripada isterinya, Melania Trump, yang merayu Putin menamatkan perang demi masa depan kanak-kanak. Namun, langkah simbolik itu tidak mengubah hakikat bahawa AS kini berisiko dilihat tunduk kepada strategi Kremlin.
Utusan khas Trump, Steve Witkoff, bagaimanapun mendedahkan bahawa Rusia bersetuju membenarkan AS dan Eropah menawarkan jaminan keselamatan “robust” kepada Ukraine, seakan-akan prinsip Artikel 5 NATO.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyifatkan tawaran itu sebagai “bersejarah”, tetapi menegaskan ia mesti praktikal, merangkumi darat, udara dan laut dengan kerjasama Eropah.
Pertemuan susulan dijadualkan akan dijalankan pada Isnin di Washington antara Trump dan Zelensky, dengan kehadiran pemimpin Eropah termasuk Perdana Menteri Britain, Sir Keir Starmer; Presiden Perancis, Emmanuel Macron; dan Canselor Jerman, Friedrich Merz dengan agenda mendesak Trump memperincikan tahap sebenar komitmen AS terhadap jaminan keselamatan itu.
Macron memberi amaran kelemahan hari ini akan dibayar mahal pada masa depan, manakala sumber diplomatik Eropah bimbang Trump mungkin menekan Zelensky menerima cadangan Putin yang menuntut Ukraine melepaskan wilayah Donetsk sebagai pertukaran kepada pembekuan garisan hadapan di Zaporizhzhia dan Kherson.