Bank Pusat Eropah (ECB) dijangka menamatkan kitaran pemotongan kadar faedah selepas data menunjukkan ekonomi zon Eropah stabil dan inflasi hampir dengan sasaran 2%. Menurut tinjauan Reuters, 66 daripada 69 ahli ekonomi meramalkan ECB akan mengekalkan kadar deposit pada 2% dalam mesyuarat 11 September. Sentimen ini berbeza dengan Rizab Persekutuan AS yang dijangka menurunkan kadar bulan ini.
Claus Vistesen dari Pantheon Macroeconomics menyifatkan keadaan semasa sebagai “pendaratan lembut” dengan inflasi terkawal dan kadar pengangguran di paras terendah. Hampir 60% ahli ekonomi menjangka kadar akan kekal tahun ini, manakala minoriti melihatnya kekal pada 2% atau lebih tinggi menjelang akhir 2026.
Unjuran inflasi menunjukkan kenaikan kecil kepada 2.1% pada Ogos, tetapi dijangka kekal stabil sehingga sekurang-kurangnya 2028. Ekonomi zon Eropah pula diramal berkembang 1.2% tahun ini, 1.1% tahun hadapan, dan cecah 1.4% pada 2027. Harapan terhadap sokongan fiskal, khususnya dari Jerman, turut menyokong prospek positif ini.
Waima begitu, risiko tetap wujud. Ekonomi Jerman menguncup 0.3% pada suku lepas akibat permintaan AS yang lemah, sementara ketidakstabilan politik di Perancis dan Sepanyol menambah ketidaktentuan. Walaupun begitu, penganalisis percaya rantau ini mempunyai peluang baik untuk mengekalkan pertumbuhan berterusan sehingga 2026 dan seterusnya.