Kerajaan Malaysia telah berjaya mencatatkan hasil kutipan cukai produk rokok elektronik (vape) sebanyak RM2.095 juta dari tempoh April 2023 hingga Ogos lalu.
Namun, angka tersebut sebenarnya masih tidak mampu menandingi kos rawatan pesakit yang berkaitan vape sepanjang tahun lalu.
Kos rawatan berkaitan penyakit E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) dianggarkan mencecah RM223.5 juta adalah lebih tinggi berbanding kutipan cukai untuk produk tersebut.
Kementerian Kesihatan telah merekodkan 46 kes EVALI dari tahun 2019 hingga setakat September lalu.
Purata kos rawatan dianggarkan berjumlah RM150,892.11 dengan purata tempoh kemasukan ke hospital adalah 12 hari.
Menurut perangkaan Kementerian Kesihatan, walaupun industri vape menyumbang hasil kukuh melalui kutipan cukai dan duti, kos sebenar untuk merawat kes-kes yang berkaitan dengan penggunaan rokok elektronik adalah tidak seimbang.
Pihak kementerian menjelaskan bahawa kos rawatan yang tinggi menunjukkan keperluan segera bagi kawalan yang lebih ketat ke atas produk vape.
Ini termasuk cadangan peningkatan cukai dan peraturan yang lebih menyeluruh sebagai langkah menangani implikasi kesihatan awam.
Kerajaan sedang mempertimbangkan pelbagai tindakan pengawalseliaan seperti kenaikan duti vape dan kemungkinan peraturan pengharaman bagi mengurangkan penggunaan dalam kalangan golongan muda.























































