Ringgit melantun semula untuk dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS dan mata wang utama, walaupun dolar AS menunjukkan aliran menaik di tengah-tengah perbincangan AS-Ukraine.
Pada jam 10.30 pagi, ringgit berada pada paras 4.2240 iaitu susut 0.09% berbanding dolar AS sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Afzanizam Rashid berkata pelabur memberi tumpuan kepada perbincangan berterusan antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, serta keputusan kadar faedah Federal Reserve AS (Fed) yang akan datang.
Terkini, Donald Trump bertemu dengan Zelenskiy sebelum mengadakan perbincangan dengan pemimpin Britain, Jerman, Perancis, Itali, Finland, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Selain itu, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat menjelang minit mesyuarat Fed AS dan Simposium Ekonomi Jackson Hole minggu ini.
Sementara itu, ringgit dibuka tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama pagi ini.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8520/2.8610 daripada penutup Isnin pada 2.8632/2.8661, bertambah baik berbanding pound Britain kepada 5.6986/5.7162 daripada 5.7139/5.7193 semalam dan meningkat berbanding euro kepada 4.9227/4.9379 daripada 4.9290/4.9336 sebelum ini.
Pada masa yang sama, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean yang lain.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2845/3.2949 daripada 3.2902/3.2936 pada penutup Isnin dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9648/13.0127 daripada 12.9942/13.0121 semalam. – Bernama