Ringgit meningkat semula, dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Isnin selepas Pengerusi Federal Reserve (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell memberi petunjuk mengenai kemungkinan penurunan kadar faedah pada September.
Pada jam 10 pagi, ringgit berada pada paras 4.2000 iaitu positif 0.59% berbanding dolar AS sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jangkaan terhadap penurunan kadar faedah pada September semakin tinggi selepas kenyataan Powell di Simposium Dasar Ekonomi Jackson Hole pada Jumaat lepas.
Beliau berkata pendirian dasar monetari yang ketat mungkin memerlukan pelarasan mengambil kira prospek ekonomi yang berubah dan keseimbangan risiko yang tidak statik.
Pelabur telah meningkatkan jangkaan terhadap penurunan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan pada 16 hingga 17 September.
Mohd Afzanizam berkata hasil Perbendaharaan AS jangka pendek merosot lebih banyak berbanding sekuriti jangka panjang.
Prospek mata wang pasaran yang sedang pesat membangun, termasuk ringgit dilihat lebih baik berbanding dolar dalam tempoh terdekat.
Pada masa yang sama, ringgit dibuka rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia merosot berbanding pound kepada 5.6781/7098 daripada 5.6659/6726 pada Jumaat lepas, berkurangan berbanding yen Jepun kepada 2.8545/8704 daripada 2.8408/8443 dan rendah berbanding euro kepada 4.9210/9485 daripada 4.8996/9054.
Ringgit bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.
Ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 257.0/258.6 daripada 258.3/258.7 dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 7.38/7.43 daripada 7.42/7.43.
Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2776/2962 daripada 3.2763/2805 dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.9602/13.0423 daripada 12.9387/9592 pada Jumaat lepas. – Bernama