Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pada awal dagangan didorong oleh pendirian Federal Reserve (Fed) AS yang hawkish dan data ekonomi yang positif.
Pada jam 10.20 pagi, ringgit berada pada paras 4.4930 iaitu positif 0.13% berbanding USD daripada ia ditutup 4.5005 pada penghujung Khamis.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid menekankan kekuatan mampan Indeks Dolar AS (DXY) yang berlegar sekitar 109 mata sejak tiga hari lalu.
DXY sentiasa berada pada aliran menaik sejak September tahun lepas sejurus selepas Fed menyampaikan jangkaan pemotongan kadar pada 17 dan 18 September 2024.
Katanya lagi, Fed mungkin menurunkan lagi kadar tahun ini, kuantum pemotongan yang lebih kecil menunjukkan hasrat bank pusat untuk mengekalkan pendirian dasar monetari yang agak terhad.
Ini akan mempengaruhi sentimen pasaran dengan ringgit berkemungkinan berlegar sekitar RM4.50 dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, ringgit dibuka kebanyakkan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun pada 2.8463/8528 daripada 2.8466/8500 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6332/6435 daripada 4.6382/6434.
Bagaimanapun, mata wang tempatan itu lemah berbanding pound Britain ditutup pada 5.5359/5482 berbanding 5.5271/5332 pada Khamis.
Dalam perdagangan mata wang Asean, ringgit menunjukkan prestasi bercampur-campur.
Ia susut berbanding baht Thailand kepada 13.0208/0592 daripada 12.9937/13.0142 dan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2880/2956 daripada 3.2865/2906.
Sementara itu, mata wang tempatan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.69/7.71 dan juga tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 277.4/278.2.