Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS susulan prestasi mata wang Amerika Syarikat (AS) yang terus kekal di bawah paras 100 mata Indeks Dolar AS.
Pada jam 10:50 pagi, ringgit berada pada paras 4.1290 iaitu mengukuh 0.12% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan bahawa jangkaan yang semakin meningkat mengenai penurunan Kadar Dana Persekutuan AS (Federal Funds Rate) pada Disember terus menjejaskan nilai dolar AS.
Beliau turut menyatakan bahawa perbincangan mengenai calon pengerusi Federal Reserve (Fed) juga menyokong naratif mengenai penurunan kadar faedah.
Pada masa sama, ringgit dijangka diniagakan antara RM4.12 hingga RM4.13 hari ini.
Mata wang domestik diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen kepada 2.6405/6496 daripada 2.6438/6456 semalam, namun merosot berbanding pound British kepada 5.4638/4824 daripada 5.4492/4525 dan sedikit rendah berbanding euro kepada 4.7864/8026 daripada 4.7862/7891.
Ringgit turut didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1823/1933 daripada 3.1847/1869 semalam, dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8022/8556 daripada 12.8308/8433.
Ia juga mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 247.5/248.5 daripada 248.2/248.4 dan lebih tinggi berbanding peso Filipina kepada 7.01/7.03 daripada 7.02/7.03 sebelum ini. – Bernama
























































