Ringgit dibuka tinggi pada Selasa tetapi berkemungkinan diniagakan berhati-hati hari ini kerana pasaran akan memerhatikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) Khamis ini, bersama-sama dengan laporan Non-Farm Payroll (NFP) AS pada Jumaat.
Pada jam 10 pagi, ringgit berada pada paras 4.2250 iaitu turun 0.07% berbanding dolar AS sejak ia dibuka pada awal dagangan harian Selasa.
Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Afzanizam Rashid menjangka BNM mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75%.
BNM telah melaksanakan pemotongan sebelum ini, beliau yakin tahap kemudahan dasar monetari sudah mencukupi untuk menyokong pertumbuhan.
Katanya lagi, pasaran mahu melihat penilaian terkini oleh bank pusat mengenai keadaan semasa ekonomi dan prospeknya.
Buat masa ini, NFP adalah pengukur penting bagi keputusan Federal Reserve (Fed) pada 17 Sept, terutamanya memandangkan semakan menurun yang ketara pada pusingan Jun dan Mei.
Ringgit boleh diniagakan antara RM4.21 dan RM4.22 hari ini memandangkan dolar AS telah menunjukkan aliran susut nilai berbanding mata wang utama lain.
Pada masa yang sama, ringgit dibuka kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.869/2.8758 daripada 2.8708/2.8741 pada Jumaat lepas, susut berbanding pound Britain kepada 5.7171/5.7300 daripada 5.6833/5.6894 dan lemah berbanding euro kepada 4.9443/4.9554 daripada 4.9291/4.9343.
Ringgit kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean lain.
Ia susut berbanding rupiah Indonesia kepada 257.0/257.7 daripada 255.9/256.3, turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2875/3.2952 daripada 3.2859/3.2899 dan susut berbanding baht Thai kepada 13.0601/13.0976 daripada 13.0327/13.0519 pada Jumaat lepas.
Mata wang tempatan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.37/7.40 daripada 7.39/7.40 Jumaat lepas. – Bernama