Ringgit bergerak lemah berbanding dolar AS berikutan data ekonomi Amerika Syarikat yang lebih optimis.
Pada jam 10.30 pagi, ringgit berada pada paras 4.2190 iaitu susut 0.41% berbanding USD sejak ia dibuka pada awal dagangan Jumaat di sesi Asia.
Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan ringgit akan berlegar dalam julat RM4.21 hingga RM4.22 hari ini, dengan Indeks Dolar AS mengekalkan momentum menaiknya.
Katanya lagi, anggaran akhir KDNK AS bagi suku kedua semak semula kepada 3.8 peratus berbanding anggaran sebelum ini sebanyak 3.3 peratus.
Pada sesi pembukaan hari ini, ringgit dibuka lebih kukuh berbanding kebanyakan mata wang utama.
Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.8146/8215 daripada 2.8283/8308 ketika ditutup semalam. Ia turut mengukuh berbanding euro kepada 4.9197/9313 daripada 4.9429/9470 serta lebih tinggi berbanding pound British pada 5.6257/6390 daripada 5.6600/6647.
Bagi mata wang serantau ASEAN, prestasi ringgit bercampur-campur.
Ia menguat berbanding dolar Singapura kepada 3.2589/2669 daripada 3.2662/2692 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0897/1285 daripada 13.0959/1133 sebelum ini.
Namun, ringgit menyusut berbanding peso Filipina kepada 7.26/7.28 daripada 7.24/7.25 semasa ditutup semalam, sementara berbanding rupiah Indonesia, ringgit sedikit berubah pada 251.9/252.6 berbanding 251.2/251.5 sebelumnya. – Bernama