Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS disebabkan kekurangan minat belian, berikutan ketidaktentuan pasaran berterusan berikutan tarif timbal balik global Presiden AS Donald Trump.
Pada jam 10.20 pagi, ringgit berada pada paras 4.4670 iaitu susut 0.74% berbanding USD daripada ia ditutup 4.4335 pada Jumaat lalu.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran mata wang berkemungkinan kekal tidak menentu dengan sentimen lemah berikutan pengumuman tarif menyeluruh pentadbiran Trump minggu lepas.
Ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati, kerana permintaan terhadap mata wang selamat seperti dolar AS akan terus mendominasi dagangan.
Katanya lagi, pasaran mata wang berhati-hati terhadap risiko kemelesetan yang berkaitan di AS kerana tarif akan meningkatkan kos menjalankan perniagaan dan akan mengakibatkan kemusnahan permintaan AS.
Buat masa ini, Federal Reserve (Fed) masih mengekalkan posisi bertenang.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama.
Ia turun berbanding yen Jepun kepada 3.0582/0779 daripada 3.0294/0340 dan lemah berbanding euro kepada 4.8773/9080 daripada 4.8706/8778 tetapi menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.7399/7760 daripada 5.7591/7676 penutup Jumaat lepas.
Nota tempatan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8376/9274 daripada 12.9589/9847 dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3035/3248 daripada 3.3153/3204 sebelumnya.
Ia jatuh berbanding rupiah Indonesia pada 267.1/268.9 daripada 266.2/266.7 dan susut berbanding peso Filipina pada 7.82/7.88 daripada 7.80/7.782. – Bernama