Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika berikutan sentimen pasaran kekal berhati-hati dengan data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang akan diterbitkan minggu ini serta ketidaktentuan dasar yang berterusan.
Pada jam 10.15 pagi, ringgit berada pada paras 4.4670 iaitu susut 0.68% berbanding dolar AS daripada ia ditutup 4.4375 semasa penutup Jumaat.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pentadbiran Presiden AS Donald Trump akan mengenakan 25% tarif ke atas import keluli dan aluminium dari semua negara.
Langkah itu boleh meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran mata wang dengan dolar AS berkemungkinan kekal dalam permintaan tinggi.
Sementara itu, Non-farm Payrolls (NFP) meningkat lebih rendah daripada jangkaan 143,000 pada bulan Januari berbanding anggaran konsensus sebanyak 170,000.
Di peringkat tempatan, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain tetapi jatuh berbanding yen Jepun kepada 2.9303/9457 daripada 2.9217/9249 pada Jumaat.
Ia meningkat berbanding euro kepada 4.5884/6121 daripada 4.6101/6148 sebelum ini dan meningkat berbanding pound British kepada 5.5140/5425 daripada 5.5278/5334.
Nota tempatan itu didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Ia lebih tinggi berbanding dolar Singapura pada 3.2791/2965 daripada 3.2866/2901 pada penutup Jumaat dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1214/2009 daripada 13.1853/2041.
Ringgit bagaimanapun susut berbanding rupiah Indonesia kepada 273.2/274.8 daripada 272.4/272.9 dan lemah berbanding peso Filipina kepada 7.67/7.71 daripada 7.65/7.66 penutup Jumaat. – Bernama