Mata wang ringgit dibuka tinggi sepanjang minggu, melanjutkan keuntungannya menjelang data keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga 2025 Malaysia yang akan dikeluarkan pada petang ini.
Pada jam 10.30 pagi, ringgit berada pada paras 4.1300 iaitu rendah 0.10% berbanding dolar AS sejak ia dibuka pada awal dagangan Jumaat di sesi Asia.
Pengarah strategi pelaburan IPPFA, Sedek Jantan, berkata laporan ekonomi S3 Bank Negara Malaysia dijangka menjadi pemangkin utama bagi sentimen domestik, dengan petunjuk makro yang selari dengan unjuran pertumbuhan 5.2% mampu memperkukuh keyakinan pasaran.
Pembukaan lebih kukuh ringgit turut didorong oleh kejatuhan ketara indeks dolar AS, meskipun pelabur kekal berhati-hati menjelang data ekonomi baharu dan potensi kesannya terhadap mesyuarat dasar Fed Disember, terutama dengan kemungkinan beberapa data mengalami kelewatan.
Beliau menambah bahawa jangkaan pemotongan kadar Fed pada Disember semakin pudar, sekali gus mencipta persekitaran luaran yang lebih menyokong mata wang Asia.
Dalam keadaan ini, ringgit berpotensi terus mengukuh dan mungkin menguji paras 4.10 berbanding dolar AS dalam masa terdekat, berbanding sekitar 4.12 ketika ini.
Pada pembukaan, ringgit lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen kepada 2.6649/2.6735 daripada 2.6700/2.6728 pada penutup Khamis, meningkat berbanding pound British kepada 5.4197/5.4368 daripada 5.4282/5.4334, dan meningkat berbanding euro kepada 4.7921/4.4793 daripada 4.4793
Ringgit juga lebih tinggi berbanding mata wang Asean.
Ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 246.3/247.2 daripada 246.6/247.0, dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.98/7.01 daripada 6.99/7.00.
Ia menambah nilai berbanding baht Thailand kepada 12.7278/12.7786 daripada 12.7724/12.7903 dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1664/3.1767 daripada 3.1729/3.1762. – Bernama





















































