Bitcoin sekali lagi mencabar paras dagangan $100,000 minggu lalu selepas melonjak lebih $20,000 sejak paras terendah awal April, namun pergerakan itu terbantut apabila harga terkandas sekitar $96,000 sebelum merosot ke bawah $94,000 pada 6 Mei. Kelesuan pasaran turut dipengaruhi oleh jangkaan bahawa Rizab Persekutuan A.S. akan mengekalkan kadar faedah utama pada paras semasa 4.25%-4.5%.
Namun, pasaran kembali pulih apabila laporan mula tersebar bahawa A.S. dan China bakal mengadakan rundingan perdagangan di Switzerland hujung minggu ini. Hanya dalam sehari selepas laporan tersebut, Bitcoin melepasi paras psikologi $100,000 dan melonjak ke paras tertinggi $104,000 tahap tertinggi sejak akhir Januari lalu sebelum susut sedikit ke paras dagangan $103,000.
Di sebalik lonjakan BTC sebanyak 6.3% dalam seminggu, Ethereum mencuri tumpuan apabila melonjak hampir 30% ke sekitar $2,500, paras tertinggi dalam tempoh dua bulan. Kebangkitan dramatik ini berlaku selepas pelaksanaan naik taraf terkini Ethereum yang dikenali sebagai Pectra.
Beberapa altcoin utama turut mencatatkan lonjakan dua digit, termasuk SOL, DOGE, SUI, ADA, BCH, HYPE dan SHIB. Jumlah keseluruhan pasaran kripto kini bernilai $3.38 trilion, dengan volume dagangan harian mencecah $230 bilion dan dominasi Bitcoin berada pada 60.6%.