Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Saham Amerika Syarikat (AS) ditutup lebih tinggi pada sesi dagangan Selasa, disokong oleh prestasi kukuh saham teknologi yang menyaksikan hampir semua 11 sektor utama dalam indeks S&P 500 mencatatkan keuntungan memberangsangkan.
Pemulihan dalam sektor teknologi bermula sejak minggu lalu selepas Micron Technology mengeluarkan ramalan lebih optimis, serta data inflasi yang lebih rendah daripada jangkaan.
Situasi tersebut membantu S&P 500 dan Dow Jones menghampiri paras rekod penutupan yang pernah dicapai pada 11 Disember lalu.
Saham Micron meningkat 4%, manakala indeks semikonduktor PHLX pula naik 1.1%.
Saham Nvidia pula memberikan impak terbesar kepada peningkatan indeks S&P 500 selepas syarikat itu memaklumkan perancangan untuk menghantar cip kecerdasan buatan (AI) ke China sebelum perayaan Tahun Baru Cina pada pertengahan Februari depan.
Indeks Dow Jones meningkat 0.47% kepada 227.79 mata, S&P 500 menokok 0.64% kepada 43.99 mata, manakala Nasdaq Composite melonjak 0.52% kepada 121.21 mata.
Menurut Stock Trader’s Almanac, sejak tahun 1950 ‘Santa Claus Rally’ kebiasaanya menyaksikan kenaikan purata sebanyak 1.3% dalam S&P 500 sepanjang lima hari dagangan terakhir tahun ini dan dua hari pertama bulan Januari.
Dalam perkembangan lain, sektor bahan mentah melonjak 1.4%, manakala sektor tenaga naik 1.1%, selari dengan kenaikan harga komoditi dunia.
Sektor teknologi pula meningkat 0.4%, manakala sektor kewangan naik 1.3% untuk merekodkan paras tertinggi sepanjang masa.
Walau bagaimanapun, data ekonomi penting termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga, data keyakinan pengguna bulan Disember, serta tuntutan pengangguran mingguan akan diterbitkan minggu ini.
Data tersebut akan memberikan gambaran lebih jelas mengenai keadaan ekonomi AS serta memberi petunjuk terhadap hala tuju dasar monetari negara itu.
Jumlah dagangan di bursa AS pada hari tersebut berjumlah $14.57 bilion, sedikit rendah berbanding purata $16.9 bilion bagi 20 hari dagangan terakhir.
























































