Niaga hadapan indeks saham Amerika Syarikat (AS) melonjak selepas Presiden Donald Trump memberi isyarat positif mengenai hubungan perdagangan antara AS dan China, sekaligus meredakan kebimbangan terhadap perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.
Purata indeks S&P 500 meningkat 1.1% kepada 6,665.50 mata, Dow Jones naik 0.7% kepada 46,027.0 mata, manakala Nasdaq yang berfokus kepada industri teknologi melonjak 1.6% kepada 24,781.0 mata.
Peningkatan itu berlaku susulan kejatuhan secara mendadak pada Jumaat lalu apabila Wall Street mencatatkan penurunan harian terbesar dalam tempoh enam bulan.
Indeks utama AS jatuh pada Jumaat selepas Trump mengumumkan tarif tambahan 100% ke atas semua import dari China dan kawalan eksport baharu terhadap perisian penting keselamatan negara.
Langkah itu dibuat selepas Beijing mengetatkan peraturan eksport nadi bumi, sekaligus mengejutkan pasaran yang berwaspada terhadap peningkatan ketegangan perdagangan.
Namun semalam, Trump menenangkan keadaan dengan kenyataan di media sosial bahawa AS ‘mahu membantu, bukan mencederakan China’, sambil memberi bayangan rundingan mungkin berterusan.
Kenyataan Trump tersebut kembali meredakan kebimbangan dalam kalangan pelabur serta mendorong kenaikan dalam dagangan niaga hadapan, meskipun sentimen pasaran kekal berhati-hati.
Kementerian Perdagangan China pula memberi amaran bahawa pihaknya akan bertindak balas sekiranya Washington meneruskan rancangan tarif berkenaan, sambil menegaskan bahawa China ‘tidak gentar’ menghadapi perang perdagangan.
Penutupan Kerajaan AS Berterusan, Musim Pendapatan Bermula
Keyakinan pasaran bagaimanapun terjejas oleh penutupan kerajaan AS yang berlanjutan, kini memasuki minggu kedua tanpa laluan jelas untuk penyelesaian.
Situasi itu telah menghentikan pengeluaran laporan ekonomi utama oleh agensi persekutuan serta menyukarkan tugas Federal Reserve (Fed) menjelang mesyuarat dasarnya pada 28-29 Oktober ini.
Sementara itu, musim pendapatan bermula minggu ini dengan bank-bank utama AS mengetuai laporan. Citigroup, JPMorgan Chase, Wells Fargo dan Goldman Sachs akan melaporkan pada Selasa, diikuti oleh Bank of America Corp dan Morgan Stanley pada Rabu.