Saham Amerika Syarikat (AS) ditutup lebih tinggi selepas Federal Reserve (Fed) menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat FOMC semalam.
Kenaikan pasaran turut disokong oleh lonjakan saham pembuat cip Intel, selepas Nvidia memutuskan untuk mengambil kepentingan dalam syarikat tersebut.
Saham Intel mencatatkan kenaikan harian terbesar sejak Oktober 1987, melonjak 22.8% selepas Nvidia mengumumkan pelaburan bernilai $5 bilion dalam pengeluaran cip AS yang kini berdepan cabaran.
Saham Nvidia pula meningkat 3.5%, sekaligus memulihkan kerugian pada Rabu selepas laporan menyatakan syarikat teknologi China mungkin menghentikan pembelian cipnya.
Indeks Dow Jones menokok 0.27% kepada 124.10 mata, S&P 500 naik 0.48% kepada 31.61 mata, manakala Nasdaq berfokus kepada industri teknologi mencanak 0.94% kepada 209.40 mata.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Fed, Jerome Powell pada Rabu menegaskan bahawa kelemahan pasaran buruh kini menjadi keutamaan, sambil memberi isyarat kemungkinan berlaku lagi pengurangan kadar pada mesyuarat dasar akan datang.
Selain itu, data baharu turut menunjukkan tuntutan faedah pengangguran AS menurun minggu lalu, namun pasaran buruh kekal lemah berikutan penurunan dalam permintaan dan bekalan tenaga kerja.
Pemotongan kadar faedah juga dijangka terus menyokong kenaikan terbaharu Wall Street dipacu oleh harapan pelonggaran dasar monetari serta kebangkitan semula saham kecerdasan buatan (AI).
Sementara itu, saham Darden Restaurants merosot 7.7% selepas syarikat induk Olive Garden itu melaporkan keputusan suku tahunan yang lemah.
Jumlah dagangan di bursa AS bernilai $19.30 bilion, berbanding purata $16.67 bilion dalam tempoh 20 hari dagangan penuh.