Saham Amerika Syarikat (AS) ditutup bercampur-campur dengan indeks S&P 500 dan Nasdaq mencatat rekod penutupan tertinggi selepas saham Oracle melonjak.
Selain itu, laporan inflasi pengeluar (PPI) yang lebih rendah daripada jangkaan turut menyokong harapan bahawa Federal Reserve (Fed) akan menurunkan kadar faedah minggu depan.
Saham Oracle melonjak 36%, mencatatkan kenaikan harian terbesar sejak 1992 selepas syarikat teknologi itu melaporkan lonjakan permintaan daripada syarikat kecerdasan buatan (AI) untuk perkhidmatan awamnya.
Nilai pasaran syarikat itu mencecah $922 bilion, melepasi Eli Lilly ($878 bilion), JPMorgan Chase ($586 bilion) dan Walmart ($536 bilion) serta hampir menyamai Tesla yang bernilai $1.12 trilion.
Saham cip AI turut meningkat dengan Nvidia naik 3.8%, Broadcom melonjak 10% dan Advanced Micro Devices menokok 2.4%. Indeks cip PHLX pula menokok 2.3% ke paras tertinggi baharu.
Indeks S&P 500 menambah 0.30% kepada 6,532.04 mata, Nasdaq berfokus kepada industri teknologi naik 0.03% kepada 21,886.06 mata, manakala Dow Jones pula menyusut 0.48% kepada 45,490.92 mata.
Pelabur kini menantikan data Indeks Harga Pengguna (CPI) yang akan dikeluarkan pada Khamis jam 8.30 malam waktu Malaysia (MYT) bagi menilai hala tuju inflasi AS.
Sementara itu, saham Synopsys merosot 36%, mencatatkan kejatuhan harian terbesar dalam sejarah selepas penyedia perisian reka bentuk cip itu gagal memenuhi anggaran hasil suku tahunan Wall Street.
Jumlah dagangan di bursa AS bernilai $17.2 bilion, berbanding purata $16.0 bilion dalam tempoh 20 hari dagangan penuh.