Sanae Takaichi kini berada di ambang mencatat sejarah sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun selepas memenangi pemilihan sebagai Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP).
Takaichi, yang dikenali sebagai tokoh konservatif tegas dan sekutu rapat mendiang bekas Perdana Menteri Shinzo Abe, menyatakan bahawa beliau akan berusaha keras untuk mengubah kebimbangan rakyat tentang kehidupan seharian dan masa depan mereka menjadi harapan baharu.
Kemenangan Takaichi berlaku ketika Jepun berdepan tekanan ekonomi dalam negeri serta hubungan diplomatik yang semakin tegang di peringkat antarabangsa.
Pemerhati melihat pelantikannya sebagai penentu sama ada Jepun akan meneruskan dasar konservatif berteraskan Abenomics yang mendominasi ekonomi negara itu selama lebih sedekad.
Peletakan jawatan Perdana Menteri Shigeru Ishiba sebelum ini berlaku selepas LDP kehilangan majoriti dalam kedua-dua dewan Parlimen pada tahun 2024 dan 2025. Situasi ini menyebabkan parti pemerintah kini mentadbir sebagai kerajaan minoriti.
Parlimen Jepun (Diet) bersidang pada 15 Oktober, parti pembangkang mempunyai peluang untuk menyekat pengesahan Takaichi sebagai perdana menteri. Namun begitu, penganalisis berpendapat kemungkinan itu rendah berdasarkan komposisi semasa dan kecenderungan politik dalam negara.
Sekiranya berjaya membentuk kerajaan, Takaichi dijangka berdepan tiga cabaran utama.
Pertama, menguruskan krisis kos sara hidup yang terus meningkat. Kedua, mengekalkan hubungan ekonomi dan keselamatan dengan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump. Ketiga, menangani kebimbangan masyarakat terhadap peningkatan jumlah warga asing yang bekerja dan menetap di Jepun.
Dari segi ekonomi, Takaichi dikenali sebagai penyokong kuat dasar Abenomics yang diperkenalkan oleh Shinzo Abe. Strategi ini menekankan pelonggaran monetari, perbelanjaan fiskal dan pembaharuan struktur ekonomi.
Jika diluluskan oleh Parlimen, Takaichi bukan sahaja akan menjadi wanita pertama menerajui Jepun, tetapi juga simbol perubahan dalam politik negara yang sekian lama didominasi oleh lelaki.