Menutup dagangan di penghujung minggu lalu, US dolar dilihat masih meneruskan corak pemulihan pada sesi-sesi terakhir.
Peningkatan terhadap mata wang safe-haven mendorong situasi tersebut, namun penganalisis melihat pemulihan US dolar hanya bersifat sementara dengan berkemungkinan dipengaruhi oleh faktor pengambilan untung (profit taking) di penghujung minggu.
Ini disebabkan kebimbangan terhadap ekonomi terbesar dunia itu masih belum berlalu dengan risiko untuk US dolar kembali melemah pada dagangan yang bakal diteruskan menuju penutup Mac ini.
Pelabur juga bakal bersiap sedia menjelang pelaksanaan tarif yang diumumkan Presiden Donald Trump bakal bermula awal April.
Dalam pada itu, pentadbiran Trump menyatakan bakal membatalkan status undang-undang terhadap hampir separuh juta pendatang dari Cuba, Haiti, Nicaragua dan Venezuela.
Mereka diarahkan untuk meninggalkan Amerika sebelum permit dibatalkan pada 24 April.
Trump juga mempertimbangkan untuk batalkan status undang-undang terhadap 240,000 pendatang dari Ukraine yang melarikan diri ketika konflik perang dengan Rusia.
Tindakan yang berisiko mencetuskan gangguan dalam pasaran buruh di negara itu turut akan mempengaruhi prestasi semasa US dolar.
Selain itu, pada minggu ini, Federal Reserve (Fed) akan memerhatikan petunjuk penting pada laporan indeks harga PCE yang mengukur perbelanjaan penggunaan peribadi sebagai salah satu petunjuk inflasi.
Di awal minggu, laporan PMI untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan akan memberi gambaran kesihatan semasa ekonomi.