Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan pembatalan semua rundingan perdagangan dengan Kanada selepas menuduh Ottawa menyiarkan “iklan palsu” yang memaparkan bekas Presiden AS ke-40, Ronald Reagan mengkritik dasar tarif.
Trump berkata keputusan itu dibuat susulan “tingkah laku melampau” Kanada, selepas iklan berkenaan menggunakan rakaman Reagan pada 1987 yang dikatakan menentang tarif terhadap barangan asing.
Trump menyatakan di platform Truth Social, disebabkan tindakan keterlaluan mereka, semua rundingan perdagangan dengan Kanada kini ditamatkan.
Pertikaian itu timbul selepas Amerika mengenakan tarif terhadap keluli, aluminium dan kenderaan dari Kanada awal tahun ini, yang menyebabkan Ottawa mengenakan tindakan balas.
Premier Ontario Doug Ford mengesahkan iklan tersebut datang daripada wilayahnya, yang bertujuan menonjolkan kesan negatif tarif terhadap ekonomi dan pekerjaan.
Namun, Yayasan Presiden Ronald Reagan menafikan penglibatan mereka dan menuduh kerajaan Ontario menggunakan rakaman audio serta video Reagan secara selektif tanpa kebenaran rasmi.
Yayasan itu menyatakan bahawa pihaknya sedang meneliti tindakan undang-undang kerana kandungan iklan tersebut didakwa memutar belit ucapan radio Reagan pada tahun 1987.
Kerajaan Kanada belum memberikan sebarang komen rasmi mengenai pengumuman Trump itu.
Penganalisis menjangkakan keputusan ini akan menambah tekanan terhadap hubungan dagang antara kedua-dua negara, terutamanya menjelang semakan semula perjanjian perdagangan bebas Amerika Syarikat-Kanada-Mexico (USMCA) yang dijadual tahun depan.

























































