Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa pelaksanaan program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) akan berjalan lancar dengan sokongan sistem baharu yang mampu memproses sehingga 30,000 transaksi seminit.
Anwar menyatakan peningkatan kapasiti itu dilaksanakan selepas kerajaan mengambil iktibar daripada masalah teknikal yang timbul semasa pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebelum ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa ketika SARA dilaksanakan, kapasiti sistem hanya sekitar 3,000 transaksi seminit kerana ia dibangunkan untuk menampung kumpulan yang lebih kecil.
Kapasiti server BUDI95 kini dinaik taraf sehingga 10 kali ganda, iaitu mampu memproses 30,000 transaksi seminit bagi memastikan kelancaran serta kepantasan sistem mudah alih tersebut.
Selain itu, harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter mulai 30 September ini melalui inisiatif BUDI95 bagi memastikan hanya warganegara Malaysia menerima manfaat tersebut.
Rakyat juga dinasihatkan agar tidak tergesa-gesa membeli RON95 pada harga subsidi mulai Selasa depan kerana harga berkenaan akan kekal.
Kenyataan tersebut disampaikan semasa beliau menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan hari ini.
Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.