Saham Amerika Syarikat (AS) mencatatkan pergerakan bercampur-campur pada sesi dagangan Rabu ketika pelabur menantikan keputusan dasar terbaharu Federal Reserve (Fed).
Pelabur menjangkakan Fed akan mengekalkan nada hawkish walaupun mereka dijangka mengurangkan kadar faedah minggu ini.
Selain itu, Fed dijangka melaksanakan pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas yang merupakan pemotongan ketiga tahun ini.
Bank pusat itu telah memulakan mesyuarat dasar dua harinya semalam, dengan peniaga menjangkakan penurunan kadar faedah sebanyak suku peratus walaupun inflasi masih melebihi sasaran 2%.
Dalam pada itu, penggubal dasar terus memberikan isyarat bercampur mengenai prospek ekonomi.
Sebahagian pihak menyokong pelonggaran tambahan bagi menyokong pasaran yang semakin perlahan, manakala yang lain menegaskan bahawa penurunan kadar secara terlalu cepat berisiko menghidupkan semula tekanan inflasi.
Pasaran turut menantikan ucapan Pengerusi Fed, Jerome Powell selepas mesyuarat tersebut untuk mendapatkan petunjuk mengenai hala tuju kadar faedah pada 2026.
Purata indeks S&P 500 merosot 0.09% kepada 6.00 mata, Dow Jones jatuh 0.38% kepada 179.03 mata, manakala Nasdaq yang berfokus kepada sektor teknologi pula naik 0.13% kepada 30.58%.
Dow Jones merosot selepas saham JPMorgan jatuh 4.7% susulan ramalan perbelanjaan hampir $105 bilion untuk 2026.
Sementara itu, kenaikan Nasdaq Composite disokong oleh saham bernilai tinggi seperti Tesla (1.3%), Broadcom (1.3%) dan Alphabet (1.1%).
Pelabur juga memberi perhatian terhadap perang bidaan hangat antara Paramount Skydance dan Netflix untuk mengambil alih Warner Bros Discovery.
Situasi tersebut menyaksikan saham Warner meningkat 3.8%, Paramount naik 0.5%, manakala Netflix turun 0.08%.























































