Indeks S&P 500 dan Nasdaq ditutup lebih tinggi, didorong oleh urus niaga berkaitan kecerdasan buatan (AI), walaupun dasar monetari jangka pendek Federal Reserve (Fed) kekal tidak menentu berikutan kekurangan data rasmi ekonomi Amerika Syarikat (AS).
Firma teknologi pula membantu indeks Nasdaq Composite mencatatkan keuntungan terbesar.
Bagaimanapun, saham syarikat penjagaan kesihatan UnitedHealth Group dan Merck masing-masing susut 2.3% dan 4.1%, sekaligus menyebabkan indeks Dow Jones kekal berada pada paras negatif.
Kenaikan sentimen pasaran turut dipacu oleh saham Amazon yang melonjak 4.0% selepas syarikat itu mengumumkan perjanjian bernilai $38 bilion dengan OpenAI untuk menjalankan dan menskalakan beban kerja AI melalui Amazon Web Services.
Saham Nvidia juga meningkat 2.2% selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan bahawa cip AI tercanggih syarikat itu akan dikhaskan untuk firma AS serta tidak akan dieksport ke China dan negara lain.
Saham Kimberly-Clark merosot 14.6% selepas syarikat barangan pengguna itu didedahkan akan membeli pembuat Tylenol, Kenvue, dengan nilai melebihi $40 bilion. Saham Kenvue pula meningkat 12.3%.
Indeks S&P 500 meningkat 0.46% kepada 23,834.72 mata, Nasdaq yang berfokus kepada sektor teknologi naik 0.46% kepada 23,834.72 mata, manakala Dow Jones pula menjunam 0.48% kepada 47,336.68 mata.
Dalam perkembangan lain, White House mengeluarkan butiran mengenai perjanjian yang dicapai oleh Trump dan Presiden China, Xi Jinping pada hujung minggu lalu bagi meredakan perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.
Sementara itu, walaupun data ekonomi rasmi masih terhad akibat penutupan kerajaan yang berterusan, Institut Pengurusan Bekalan dan S&P Global melaporkan indeks pengurus pembelian mereka menunjukkan kilang-kilang AS terus bergelut dengan ketidakpastian berpunca daripada dasar tarif Trump.
Dalam pada itu, Mahkamah Agung AS akan mendengar hujah mengenai kesahihan tarif yang diperkenalkan di bawah pentadbiran Trump pada Rabu.
Tumpuan kini turut beralih kepada Indeks Pekerjaan Nasional ADP yang akan dikeluarkan pada Rabu, dijangka memberi gambaran mengenai keadaan pasaran buruh AS.
Jumlah dagangan di bursa AS bernilai $19.62 bilion, berbanding purata $21.11 bilion dalam tempoh 20 hari dagangan.











			








































