Memulakan dagangan dengan momentum lebih perlahan di awal minggu, US dolar kemudiannya kembali gah paparkan pengukuhan lebih jelas pada Selasa semalam.
Jangkaan terhadap langkah pemotongan lanjut kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) berkurangan susulan Pengerusi Jerome Powell tidak memberi isyarat lanjut pemotongan pada mesyuarat Disember.
Ahli FOMC pada mesyuarat September lalu juga dilihat berbelah bagi terhadap pandangan dasar monetari bank pusat seterusnya.
Namun, mengekalkan ataupun menurunkan kadar faedah lebih agresif perlu bergantung kepada petunjuk data-data ekonomi terbaru yang diterbitkan.
Susulan itu, situasi penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang berlarutan menjadi cabaran kepada bank pusat berikutan penangguhan penerbitan data-data penting merencatkan penilaian terhadap ekonomi semasa.
Penganalisis memberi amaran untuk pelabur berwaspada terhadap perubahan arah pasaran dengan kemungkinan situasi penyusutan US dolar boleh berlaku pada bila-bila masa.
Ini disebabkan masih terdapat kecenderungan bank pusat untuk meneruskan pelonggaran dasar mereka, namun ketika ini sedikit dihadkan oleh kewaspadaan pasaran yang masih menguntai petunjuk lebih jelas.
Di sesi New York hari ini (Rabu), data pekerjaan ADP akan diperhatikan sebelum tumpuan bakal beralih kepada laporan NFP di penghujung minggu.
Turut akan menyusul adalah data PMI perkhidmatan AS tinjauan ISM yang bakal dinilai pelabur setelah bacaan data pembuatan diterbitkan awal minggu merosot.

















































