Presiden Fed Cleveland, Beth Hammack, menegaskan bahawa risiko inflasi lebih mendesak berbanding kelemahan pasaran pekerjaan, satu tanda bahawa beliau menyokong kadar faedah kekal tinggi. Bercakap di persidangan Bank Pusat Eropah, beliau menekankan bahawa tekanan harga masih tidak selari dengan mandat the Fed.
Hammack menolak idea pemotongan kadar faedah baharu, sambil menyatakan dasar monetari perlu terus bersifat ketat untuk memastikan inflasi kembali ke sasaran 2%. Tarif dan inflasi dalam sektor perkhidmatan dilihat sebagai penyumbang utama kepada peningkatan harga.
Beliau mengakui pasaran buruh menunjukkan tanda-tanda perubahan, dengan data pekerjaan yang semakin rapuh. Namun, situasi semasa secara asas menunjukkan pengambilan rendah dan dalam masa yang sama kadar pemberhentian yang rendah. Namun ini tidak memberi alasan cukup kukuh untuk melonggarkan dasar monetari.
Dalam jangka sederhana, Hammack menjangka inflasi akan mencapai semula sasaran Fed menjelang 2027. Namun, beliau memberi amaran bahawa jangkaan inflasi perlu terus terkawal kerana wujud “tanda-tanda kebimbangan”.
Hammack menegaskan komitmen untuk kekal berfikiran terbuka terhadap perkembangan ekonomi, tetapi menekankan keperluan mengekalkan pendirian monetari ketat bagi menyejukkan tekanan harga dan mengawal risiko inflasi.