6% turun, RM1 trilion melayang – itulah harga yang perlu dibayar Malaysia di sebalik pengurangan tarif import Amerika Syarikat (AS) yang digembar-gemburkan sebagai kejayaan besar kerajaan.
Namun di sebalik pengumuman itu, wujud komitmen besar yang mengundang persoalan panas apabila kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju melabur dan membeli barangan AS bernilai lebih RM1 trilion, susulan rundingan tarif yang disifatkan berat sebelah terhadap Malaysia.
Walaupun penurunan tarif import daripada 25% kepada 19% terus dipromosikan sebagai satu pencapaian yang baik, hakikatnya ia dianggap terlalu kecil berbanding nilai komitmen yang perlu ‘digadaikan’ oleh negara.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyifatkan langkah itu sebagai “bukan tawaran yang baik”, manakala ahli ekonomi yang lain menegaskan tarif sebenar sebelum ini hanya sekitar 2 hingga 3% sekali gus bermaksud kadar baharu itu hakikatnya meningkat.
Penganalisis turut mempersoalkan rasional pembelian pesawat Boeing, teknologi, dan kerjasama infrastruktur melibatkan syarikat gergasi negara seperti Petronas dan Tenaga Nasional Berhad, selain keputusan menghapuskan cukai import terhadap 11,000 produk AS.
Ahli ekonomi Carmelo Ferlito menganggarkan jumlah komitmen Malaysia kepada AS adalah 13 kali ganda daripada lebihan dagangan negara dengan AS tahun lalu, menjadikannya “tiada manfaat langsung” kepada ekonomi.
Sementara itu, bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim pula menyifatkan Malaysia “terlalu mudah panik” dengan tekanan Presiden Donald Trump, sedangkan penjimatan tarif yang diperoleh hanyalah sekitar RM10.4 bilion dalam tempoh empat tahun, ibarat “membayar RM24 untuk menjimatkan RM1”.