Minat terbuka Bitcoin menunjukkan penurunan ketara selari dengan penyusutan harga sepanjang sebulan lalu, satu perkembangan yang menurut penganalisis boleh menjadi petunjuk awal bahawa pasaran sedang membentuk paras terendah sebelum memulakan trend kenaikan baharu.
Data daripada CryptoQuant menunjukkan minat terbuka Bitcoin mencatatkan kejatuhan paling tajam dalam tempoh 30 hari, sekitar 1.3 juta BTC, dengan nilai semasa dianggarkan mencecah $114 bilion ketika Bitcoin diniagakan sekitar $87,500.
Penganalisis menyifatkan situasi ini sebagai satu fasa ‘pembersihan pasaran’ yang signifikan.
Penurunan harga Bitcoin sejak beberapa minggu lalu turut mencetuskan gelombang pembubaran posisi, memaksa pedagang menyesuaikan strategi atau mengurangkan pendedahan risiko mereka dalam pasaran niaga hadapan.
Keadaan ini menunjukkan pelabur kini lebih berhati-hati dan cenderung menghentikan aktiviti spekulatif berlebihan.
Menurut Darkfost, kali terakhir minat terbuka Bitcoin susut pada kadar seumpama ini adalah ketika pasaran ‘bearish’ 2022, sekali gus menonjolkan betapa pentingnya fasa pembetulan semasa dalam mengimbangi semula struktur pasaran.
Secara keseluruhan, Bitcoin telah merosot sekitar 20% sepanjang bulan lalu dan turun lebih 30% daripada paras tertinggi melebihi $126,000 yang dicatatkan hampir dua bulan lalu pada awal Oktober.
Sementara itu, penganalisis kripto dan pengasas MN Fund, Michaël Van de Poppe berpandangan minggu-minggu akan datang bakal menjadi penentu utama hala tuju Bitcoin. Menurutnya, sekiranya BTC mampu melonjak dan mengekalkan kedudukan dalam julat $90,000 hingga $96,000, potensi untuk mencatat paras tertinggi baharu sepanjang masa akan meningkat dengan ketara.
Beliau turut menegaskan bahawa tahap ‘fear’ dan panik yang tinggi dalam pasaran ketika ini lazimnya berlaku berhampiran zon dasar, sekali gus membuka ruang kepada peluang pemulihan harga sekiranya sokongan teknikal berjaya dipertahankan.





















































