Saham Amerika Syarikat (AS) ditutup lebih tinggi dipacu oleh kenaikan saham Tesla dan Micron Technology.
Selain itu, data Indeks Harga Pengguna (CPI) serta tuntutan pengangguran awal AS meningkatkan jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) akan menurunkan kadar faedah bulan ini.
Data CPI meningkat melebihi jangkaan pada bulan Ogos, dengan kadar inflasi tahunan mencatat kenaikan tertinggi dalam tujuh bulan terakhir.
Dalam laporan berasingan, tuntutan pengangguran awal bagi minggu berakhir 6 September berjumlah 263,000, iaitu paras tertinggi sejak hampir empat tahun.
Saham Tesla melonjak 6%, sekaligus menyokong indeks S&P 500 dan Nasdaq mencapai paras tertinggi baharu.
Saham Micron Technology meningkat 7.5% kepada $150.55 selepas Citigroup menaikkan sasaran harga kepada $175. Indeks Semikonduktor Philadelphia pula naik 0.9% ke paras tertinggi sepanjang masa.
Indeks S&P 500 menokok 0.85% kepada 6,587.47 mata, Dow Jones naik 1.36% kepada 46,108.00 mata, manakala Nasdaq berfokus kepada industri teknologi menambah 0.72% kepada 22,043.08 mata.
Ketua Pegawai Kredit Moody’s Ratings, Atsi Sheth turut meramalkan Fed akan mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas minggu depan, diikuti lagi 25 mata asas menjelang akhir tahun.
Dagangan niaga hadapan menunjukkan peniaga yakin Fed akan menurunkan kadar faedah sekurang-kurangnya 25 mata asas pada mesyuarat dasar minggu depan, dengan kebarangkalian sekitar 7% untuk pemotongan lebih besar sebanyak 50 mata asas.
Sementara itu, saham Centene melonjak 9% selepas penanggung insurans kesihatan itu mengekalkan ramalan keuntungan tahunannya dan mengesahkan penarafan kualiti rancangan Medicare sejajar dengan jangkaan.
Jumlah dagangan di bursa AS bernilai $18.2 bilion, berbanding purata $16.1 bilion dalam tempoh 20 hari dagangan penuh.