Menurut laporan laman berita Thai PBS World semalam, ratusan ribu penjawat awam di Thailand mungkin perlu menambah tempoh bekerja selama lima tahun lagi sebelum layak menerima pencen.
Kerajaan Thailand sedang mempertimbangkan untuk meningkatkan usia persaraan kakitangan awam daripada 60 tahun kepada 65 tahun.
Langkah itu bertujuan menangani masalah kekurangan tenaga kerja susulan penurunan kadar kelahiran di Thailand.
Pada masa ini, sekitar 1.7 juta rakyat Thailand bekerja dalam sektor awam dan ramai di antara mereka semakin hampir mencapai usia 60 tahun.
Bagaimanapun, cadangan kerajaan itu menimbulkan pelbagai reaksi.
Sebahagian penyokong berpendapat bahawa kepakaran penjawat yang lebih berusia dan berpengalaman mampu memberi manfaat kepada negara serta mengurangkan beban bajet kerajaan.
Namun, beberapa pengkritik memberi amaran bahawa sekiranya langkah itu dilaksanakan, ia berisiko menutup peluang pekerjaan kepada golongan muda.
Peningkatan usia persaraan itu juga akan menjejaskan ratusan ribu penjawat awam, kecuali anggota polis.
Timbalan Perdana Menteri Thailand, Borwornsak Uwanno menyatakan bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam bersama Ketua Jabatan Kawal Selia Kewangan serta Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan sedang mengkaji cadangan tersebut.




















































