Hubungan Thailand–Kemboja yang baru sahaja reda, kembali tegang apabila Thailand didakwa melancarkan serangan udara ke atas Kemboja pada awal pagi tadi, susulan pertempuran baharu yang tercetus di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Insiden berkenaan sekali gus menggugat pelan damai yang dipengerusikan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada dua bulan lalu.
Menurut seorang pegawai tentera Thailand, serangan udara tersebut merupakan tindak balas terhadap serangan pihak Kemboja yang mengakibatkan seorang askar Thailand terbunuh dan dua lagi cedera.
Tentera Thailand memaklumkan bahawa pasukan Kemboja melepaskan tembakan ke arah sempadan Thailand sekitar jam 3 pagi waktu tempatan.
Bagaimanapun, tentera Kemboja menafikan dakwaan itu dan sebaliknya menuduh Thailand melancarkan serangan ke atas pasukan mereka kira-kira jam 5:04 pagi.
Sementara itu, pihak berkuasa Thailand memaklumkan bahawa sekitar 70% penduduk awam di bandar-bandar sempadan telah dipindahkan bagi mengelakkan risiko keselamatan.
Thailand dan Kemboja sebelum ini terlibat dalam konflik sempadan selama lima hari pada Julai lalu yang mengorbankan puluhan nyawa, serta memaksa sekitar 200,000 penduduk di kedua-dua belah sempadan berpindah.
Kedua-dua negara telah menandatangani perjanjian gencatan senjata di Kuala Lumpur pada akhir Oktober dalam satu majlis yang disaksikan oleh Trump dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun begitu, kurang dua minggu selepas perjanjian itu dimeterai, hubungan kedua-dua negara kembali menunjukkan tanda-tanda keretakan.
Kerajaan Thailand kemudiannya mengumumkan bahawa mereka akan menghentikan sebarang kemajuan berhubung perjanjian berkenaan selepas kejadian letupan periuk api di kawasan sempadan yang mencederakan beberapa anggotanya.























































