Penggubal dasar ECB Peter Kazimir menyatakan bank pusat tidak mempunyai alasan untuk mengubah kadar faedah dalam beberapa bulan akan datang, sambil menegaskan kewaspadaan terhadap risiko inflasi yang meningkat. Beliau berkata ekonomi dan harga berkembang hampir sejajar dengan jangkaan, namun beberapa kejutan kenaikan, termasuk gaji yang perlahan menyederhana, perlu diberi perhatian.
Kazimir seorang yang hawkish dalam Majlis Pentadbiran menegaskan pasaran buruh kekal ketat dan pertumbuhan sedikit lebih kukuh, menunjukkan tekanan harga mungkin kekal. Ini mengukuhkan jangkaan pasaran bahawa ECB telah selesai mengurangkan kadar faedah, malah tiada pelonggaran tambahan dijangka tahun hadapan.
Beliau turut menyokong pandangan Isabel Schnabel bahawa langkah seterusnya ECB lebih berpotensi kenaikan kadar berbanding pengurangan, namun dilihat bukan dalam masa terdekat. Ini bertentangan dengan pandangan sesetengah pihak yang percaya euro yang semakin kukuh akan menurunkan kos import dan memacu disinflasi.
Kazimir memberi amaran bahawa kesan pengukuhan euro terhadap inflasi mungkin lebih kecil daripada jangkaan kerana firma mungkin tidak memindahkan perubahan kadar pertukaran kepada harga pengguna dengan ketara. Beliau juga menolak kebimbangan bahawa inflasi boleh jatuh terlalu rendah tahun haadpan dengan mengaitkannya kepada faktor tenaga yang sementara.
Dengan pasaran buruh yang kukuh dan jurang output yang tertutup, Kazimir menegaskan ECB tidak perlu bertindak balas terhadap turun naik kecil inflasi kerana ia boleh mewujudkan ketidaktentuan dasar. Menurutnya, dasar monetari perlu membawa kestabilan, bukan tindak balas berlebihan terhadap fluktuasi jangka pendek.























































