Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mengarahkan pelaksanaan ujian senjata nuklear secara mengejut, sekaligus menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan global antara kuasa-kuasa besar dunia.
Arahan tersebut diumumkan melalui akaun Truth Social miliknya semalam, menjelang sidang kemuncak bersama Presiden China, Xi Jinping yang dijadual berlangsung di Korea Selatan.
Trump menjelaskan bahawa memandangkan beberapa negara lain telah menjalankan ujian nuklear masing-masing, beliau turut mengarahkan Jabatan Pertahanan untuk memulakan semula ujian senjata nuklear atas dasar ‘kesamarataan’.
Pengumuman itu menimbulkan pelbagai persoalan sama ada beliau merujuk kepada ujian sistem senjata semata-mata atau benar-benar merancang untuk melaksanakan letupan ujian nuklear, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh AS sejak tahun 1992.
Ketika ditemui pemberita di dalam pesawat Air Force One, Trump berkata sudah sekian lama sejak AS menjalankan ujian nuklear, namun beliau berpendapat adalah wajar untuk memulakannya semula.
Trump turut mendakwa AS kini mempunyai lebih banyak senjata nuklear daripada negara lain dan pencapaian itu kononnya berlaku semasa penggal pertama beliau sebagai presiden, namun dakwaan tersebut tidak tepat menurut pakar pertahanan.
Tindakan itu juga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan musuh utama AS, khususnya Iran, yang mengkritik arahan tersebut sebagai ‘tidak bertanggungjawab.’
Naib Presiden AS, JD Vance pula memaklumkan bahawa ujian nuklear diperlukan bagi memastikan keberkesanan sistem pertahanan negara, namun beliau tidak menjelaskan secara terperinci jenis ujian yang diarahkan Trump, sambil menambah bahawa pengumuman presiden itu sudah memadai.
Vance turut menegaskan bahawa langkah itu merupakan sebahagian penting daripada strategi keselamatan AS bagi memastikan stok senjata nuklear negara berfungsi dengan baik serta menjadi komponen utama dalam rejim ujian pertahanan.
Pengumuman tersebut dibuat hanya beberapa hari selepas Rusia mengumumkan bahawa mereka telah menguji peluru berpandu dan dron laut berkuasa nuklear.
Menurut laporan tahunan terkini Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), Rusia memiliki 5,489 hulu ledak nuklear, diikuti AS dengan 5,177, manakala China mempunyai sekitar 600 hulu ledak.












 
			



![[FOMC] Kadar Faedah Fed Kekal 4.50%, Nada Powell Berhati-Hati](http://intraday.my/wp-content/uploads/2025/05/fomc-powell-360x180.png)




























 
					







