Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani perintah eksekutif untuk menubuhkan ‘Misi Genesis,’ satu inisiatif nasional yang memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) bagi memacu penemuan saintifik.
Beliau turut menyamakan pelan tersebut dengan Projek Manhattan yang menghasilkan bom atom pada era Perang Dunia Kedua.
Pelan ini merupakan sebahagian daripada strategi pentadbiran Trump untuk mengukuhkan kedudukan syarikat teknologi AS dalam persaingan global, khususnya bagi menandingi kemajuan China dalam bidang AI.
Perintah itu memberi tanggungjawab kepada Jabatan Tenaga untuk membangunkan sebuah platform AI bersepadu yang menggabungkan superkomputer negara, set data saintifik persekutuan, serta kemudahan penyelidikan bagi mempercepatkan penemuan dalam pelbagai bidang.
Langkah berkenaan merangkumi bidang daripada tenaga nuklear hingga pembuatan semikonduktor.
Inisiatif ini juga memberi tumpuan kepada platform sains dan keselamatan AS yang menyediakan akses kepada sumber pengkomputeran berprestasi tinggi, alatan pemodelan AI dan set data persekutuan besar bagi membantu penyelidik melatih model saintifik, serta mengautomasikan proses penyelidikan.
Platform itu dijangka mencapai keupayaan operasi awal dalam tempoh 9 bulan bagi sekurang-kurangnya satu cabaran saintifik utama, yang dipilih daripada 20 keutamaan yang akan digariskan oleh Jabatan Tenaga dalam masa 60 hari.
Bidang keutamaan tersebut meliputi pembuatan termaju, bioteknologi, bahan kritikal, tenaga nuklear, pengkomputeran kuantum dan semikonduktor, di mana AS berdepan persaingan sengit daripada China.
Sementara itu, White House kini sedang meneliti tindakan undang-undang bagi menghalang negeri-negeri di AS daripada melaksanakan peraturan AI secara bebas.
























































