Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyatakan kepercayaan terhadap Turkiye yang dikatakan bakal bersetuju untuk menghentikan urusan pembelian minyak mentah dari Rusia.
Persetujuan itu akan mendorong AS untuk menghapuskan sekatan dan membuka semula jalan untuk penjualan pesawat pejuang F-35 kepada Ankara.
Namun, situasi itu dilihat menekan kerajaan Turkiye untuk menyelaraskan dasar tenaga mereka dengan kepentingan geopolitik Washington.
Dalam pertemuan di White House, Trump menyifatkan bahawa perbincangan bersama Presiden Turkiye Tayyip Erdogan sangat konklusif dalam pelbagai isu namun tidak memaklumkan sebarang butiran lanjut berkenaan pengumuman yang akan dibuat selepas ini.
Sebelum ini, Trump telah mengarahkan negara-negara di Eropah untuk menghentikan pembelian minyak dari Rusia sebagai pertukaran tarif dalam usaha untuk menekan sokongan terhadap tindakan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Langkah Trump menjadikan isu pertahanan dan tenaga sebagai senjata diplomasi, menimbulkan kebimbangan bahawa Turkiye mungkin terpaksa memilih antara hubungan strategik dengan Rusia atau kerjasama ketenteraan yang lebih rapat dengan AS.
Ankara kini berada dalam situasi genting di mana tekanan itu boleh menjejaskan kedudukannya dalam NATO dan daya tawar diplomatiknya, terutama jika ia dipaksa membuat keputusan drastik mengenai sumber tenaga dan pembelian senjata Amerika.