Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam mengumumkan rancangan untuk membina dua kapal perang baharu yang paling berkuasa dan terbesar pernah dibina oleh negara itu.
Trump turut menjelaskan bahawa kapal-kapal berkenaan akan menjadi yang terpantas dan paling berkuasa dengan keupayaan sehingga 100 kali ganda berbanding kapal perang yang dibina sebelum ini.
Beliau juga memaklumkan bahawa setiap kapal akan mempunyai sesaran antara 30,000 hingga 40,000 tan atau lebih, sekali gus berfungsi sebagai kapal utama armada tentera laut AS.
Kenyataan tersebut disampaikan kepada pihak media bersama Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth dan Setiausaha Tentera Laut, John Phelan di Palm Beach, Florida.
Trump turut menyatakan bahawa kapal perang berkenaan bakal menjadi antara aset tempur permukaan yang paling digeruni kerana dilengkapi dengan senjata hipersonik dan peluru berpandu jelajah berkepala peledak nuklear yang kini sedang dalam fasa pembangunan.
Sementara itu, Hegseth berkata pengumuman pembentukan ‘Armada Emas’ yang diterajui kapal perang baharu tersebut menandakan komitmen jangka panjang terhadap kuasa maritim AS.
Phelan pula berkata kapal perang yang diberi nama USS Defiant itu bakal menjadi aset ketenteraan laut paling besar, mematikan, serta serba guna dengan keunggulan reka bentuk yang tiada tandingan di dunia.

























































