Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah memperluas larangan perjalanan ke AS dengan menyekat rakyat dari tujuh negara lagi termasuk Syria dan pemegang pasport Pihak Berkuasa Palestin (PA) daripada memasuki negara itu.
Menurut kenyataan White House, Trump mengambil tindakan tegas dengan mengharamkan kemasukan pendatang asing yang berisiko mengancam keharmonian rakyat AS.
Beliau turut berhasrat menghalang kemasukan warga asing di AS yang didakwa berisiko menggugat kerajaan, budaya, institusi dan prinsip negara berkenaan.
Langkah itu diambil susulan kematian dua anggota tentera AS dan seorang orang awam di Syria.
Sebelum ini, Trump cuba memulihkan kedudukan Syria di peringkat antarabangsa susulan kejatuhan pemerintah lamanya, Bashar al-Assad.
Pihak berkuasa Syria menjelaskan bahawa penyerang itu merupakan anggota pasukan keselamatan yang sepatutnya dipecat kerana memiliki ‘ideologi Islam pelampau.’
Negara-negara yang dikenakan sekatan perjalanan sepenuhnya termasuk beberapa negara termiskin di Afrika seperti Burkina Faso, Mali, Niger, Sierra Leone, dan Sudan Selatan, selain Laos di Asia Tenggara.
Sementara itu, Trump turut mengenakan sekatan perjalanan separa terhadap beberapa negara Afrika lain termasuk Nigeria yang memiliki jumlah penduduk terbesar, serta beberapa negara Caribbean yang majoriti penduduknya berkulit hitam.
Selain Nigeria, negara-negara yang kini dikenakan sekatan separa ialah Angola, Antigua dan Barbuda, Benin, Dominica, Gabon, Gambia, Ivory Coast, Malawi, Mauritania, Senegal, Tanzania, Tonga, Zambia dan Zimbabwe.
























































