Kerajaan MADANI mengumumkan tawaran penggantian MyKad secara percuma kepada individu yang mengalami masalah cip rosak, bermula hari ini sehingga 7 Oktober.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa penukaran boleh dilakukan di semua kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos sepanjang tempoh tersebut bagi memastikan rakyat terus mendapat akses kepada subsidi BUDI95 tanpa sebarang gangguan teknikal.
Dari Januari hingga Ogos, sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad telah diterima akibat kerosakan cip atau kad.
Trend permohonan juga menunjukkan peningkatan ketara sejak tiga bulan lalu, dengan 32,819 permohonan pada Jun, 40,371 pada Julai dan 45,411 pada Ogos.
Bagi bulan September hingga 21 September lepas, JPN menerima 22,858 permohonan. Berdasarkan purata dua bulan terkini, jumlah penggantian akibat cip rosak direkodkan sekitar 43,000 sebulan.